Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha'ari Ngadiman berkata, daerah ini mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu 19 aduan diikuti Rompin (lapan), Bentong dan Bera masing-masing empat aduan, Raub (tiga), Temerloh (dua) dan satu aduan di Maran.

“Tiada aduan direkodkan sehingga kini di Pekan, Jerantut, Lipis dan Cameron Highlands.

“Daripada jumlah aduan itu, 34 aduan telah pun diselesaikan iaitu 17 aduan di Kuantan, Rompin (enam), Bera (empat), Raub (tiga), Temerloh (dua) dan masing-masing satu aduan diselesaikan di Maran dan Bentong,” katanya selepas mengadakan program pendidikan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan di sekitar daerah ini di sini hari ini.

Sha'ari berkata, sehingga Isnin lepas, sebanyak 5,181 premis makanan dilawati dan diperiksa di seluruh negeri ini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 1,451 kesalahan dikesan iaitu 1,401 pemilik premis diberikan notis amaran kerana tidak mempamerkan tanda la­rangan merokok dan 50 individu merokok di premis makanan.

“Sebanyak 17,869 risalah dan nasihat individu dikeluarkan sepanjang tempoh 14 hari pewartaan larangan merokok.

Fasa penguatkuasaan pendidikan akan dijalankan selama enam bulan sehingga Jun ini dengan notis amaran dikeluarkan.

“Kita akan memulakan penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di premis makanan selepas tempoh itu berakhir,” katanya.