Program itu untuk memohon rahmat dan petunjuk dari Allah SWT bagi pelajar sekolah itu yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Sekolah Menengah Agama (SMA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini.

Majlis itu merupakan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Lipis, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMAAMA dan Badan Kebajikan dan Dakwah Masjid Padang Tengku.

Yang Dipertua GPMS Lipis, Azrul Khairi Muhamad berkata, majlis itu bagi memohon kepada Allah SWT semoga pelajar terlibat mendapat keberkatan dan dipermudahkan ketika menjawab soalan peperiksaan.

“Selain mengulang kaji pelajaran, memohon keberkatan Allah SWT perlu dilakukan bagi mendapatkan ketenangan ketika menghadapi peperiksaan.

“Program ini dapat merapatkan ukhuwah antara pemimpin setempat, pentadbir sekolah dan pelajar menerusi kegiatan dakwah Islamiah sekali gus membina akhlak dan jati diri selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025,” katanya di masjid Padang Tengku, dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengetua SMAAMA, Azmi Aman, Exco Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Dr. Erhan Rahimi Abdul Rahman dan Pengerusi PIBG SMAAMA, Datuk Mustapa Long.

Menurut Azrul Khairi, program itu dapat mengisi agenda mengimarahkan masjid sebagai pusat pertemuan penduduk dan dapat bertukar-tukar fikiran mengenai pelajaran anak serta melestarikan amalan Islam dan sunnah Rasulullah dalam kehidupan harian.

Katanya, calon peperiksaan berkenaan juga dititipkan dengan ceramah motivasi kecemerlangan peperiksaan dan menjana sahsiah diri.