Ketua (Grid Development) Bahagian Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, kira-kira RM80,000 diperuntukkan bagi menyalurkan bantuan kepada 300 murid di Ulu Jelai dan 100 murid di Janda Baik di Bentong.

“Sumbangan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa terutama bagi mereka yang mempunyai ramai anak bagi persediaan persekolahan 2019.

“Besarlah harapan TNB agar bantuan ini dapat mendorong dan menyuntik semangat anak-anak supaya terus berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran masing-masing,” katanya pada program ‘Back To School’ di Dewan Orang Ramai Kampung Janda Baik di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman; Ketua (Perhubungan Awam dan Dalaman) TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin dan Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB negeri, Rozianis Mohammad Noor.

Seramai 100 murid tahun satu hingga enam Sekolah Kebangsaan (SK) Janda Baik menerima sumbangan kelengkapan persekolahan pada majlis itu. - UTUSAN ONLINE