Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd. Razali Hussain berkata, calon-calon penerima anugerah Juara Produktiviti itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Pe­neraju Produktiviti dan Pengamal Produktiviti berdasarkan sumbang­an serta kepakaran mereka terhadap penambahbaikan produktiviti.

“Apa yang paling mustahak daripada penganugerahan ini adalah bagaimana kita sama-sama menggembleng tenaga dan menggandakan usaha untuk te­rus memacu agenda produktiviti menerusi pendekatan yang lebih berkesan serta praktikal.

“Laungan slogan dan kempen berterusan tanpa fokus yang jelas hanya retorik tidak berkesudahan. Sehubungan itu, melalui hala tuju produktiviti yang ditambah baik, kerajaan mengiktiraf kepakaran semua untuk turut sama menyumbang menerusi kaedah bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan Organisasi dan Majlis Penyampaian Anugerah Juara Produktiviti peringkat Wilayah Pantai Timur 2016 di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur, Adnan Abdullah dan Pengarah Perdagangan Antarabangsa dan Industri negeri, Amilia Suraya Mohammad Arif.

Mohd. Razali percaya anugerah berkenaan adalah ­ka­edah terbaik dan mampu memberi impak lebih baik kepada peningkatan produktiviti.

“Kita berharap para Juara Produktiviti akan merintis jalan dan menjadi pendorong kepada pertumbuhan produktiviti lebih baik dan cepat melalui perkongsian kepakaran serta bimbingan langsung sama ada dalam orga­nisasi sendiri mahu pun di pe­ringkat industri masing-masing.

“Saya percaya lebih banyak Juara Produktiviti akan tampil ke depan dan menyumbang pe­ngalaman serta idea mereka dalam rangkaian masyarakat industri untuk meningkatkan produktiviti dalam usaha me­ngukuhkan ekonomi negara,” ujarnya yang yakin sasaran pertumbuhan tahunan produktiviti sebanyak 3.7 peratus menjelang 2020 mampu dicapai.