Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, sebanyak 10 ekor gajah menceroboh di kawasan tanaman seluas 50 hektar untuk mendapatkan makanan.

Menurut seorang penduduk, Ahmad Sham Mat Ripin, 49, dari Kampung Bukit Kempot, dia mengalami kerugian sebanyak RM60,000 apabila tanaman pisang, kelapa mantak dan sawit seluas 2.5 hektar musnah dalam kejadian tersebut.

“Kumpulan gajah liar mema­suki kebun pada waktu malam sejak minggu lepas dan saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang diancam haiwan berke­naan.

“Selain kebun saya, haiwan berkenaan turut menceroboh beberapa kebun lain di Kampung Batu Leja, Kampung Kelola, Kampung Bukit Nikmat dan Felcra Bukit Nikmat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saharudin Ahmad, 44, dari Kampung Batu Leja berkata, dia turut berdepan ancaman gajah liar yang memusnahkan seba­nyak 100 batang pokok pisang berangan miliknya selain memusnahkan pagar.

“Kumpulan gajah ini mula agresif sejak Sabtu lalu dengan turut menceroboh tanaman sawit di Felcra Bukit Nikmat Satu sebelum memusnahkan tanaman penduduk pada waktu malam.

“Kami amat berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera bertindak menghalau atau menangkap haiwan berke­naan untuk mengelakkan lebih luas kawasan diceroboh termasuk ancaman keselamatan penduduk,” jelasnya.

Menurut Saharudin, senario itu membimbangkan para pekebun apabila gajah liar dari Hutan Simpanan Lepar berhampiran yang hampir pupus akibat projek pembalakan hingga memaksa haiwan itu berkeliaran di kampung tersebut sejak bulan lalu.

“Saya bimbang haiwan tersebut berkeliaran pula ke kawasan kediaman penduduk. Justeru, saya berharap pihak berkuasa segera bertindak,” jelasnya.