Bagi sekumpulan belia Kampung Kechau, dekat sini minat itu bukan sahaja di Sungai Jelai malah di setiap anak sungai dalam kawasan hutan di daerah ini.

Buruan mereka adalah bagi mendapatkan spesies ikan yang mahal di pasaran, iaitu kelah, baung, tengalan, sebarau dan lampam.

Baru-baru ini, seramai 25 belia di kampung tersebut dengan menaiki 15 kenderaan pacuan empat roda meredah Hutan Simpanan Cuat, Mukim Kechau di sini untuk ke Lata Beriang bagi menangkap spesies ikan liar di situ.

Turut serta Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Penyelaras aktiviti, Amir Marwan Mohd. Kasim berkata, perjalanan ke Lata Beriang mengambil masa selama tiga jam membabitkan jarak sejauh 28 kilometer.

“Pelbagai cabaran seperti kenderaan terkandas dalam lumpur, membina jambatan kayu dan terbabas ke kawasan curam berjaya dilepasi berkat kerjasama semua peserta,” katanya di Lata Beriang, dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, kesemua peserta berpuas hati dan bersyukur kerana hasrat untuk menikmati spesies ikan liar di Lata Beriang tercapai.

“Hasil tangkapan seperti kelah, baung dan tengalan dibakar dan disalai serta campuran asam tempoyak menjadi hidangan tengah hari kami di Lata Beriang sambil berkelah di lokasi berkenaan,” katanya.