Pengerusi Jawatankuasa Ko­pe­rasi, Keusahawanan dan Ke­peng­gunaan negeri, Datuk Seri Shahi­ruddin Ab. Moin berkata, Pejabat Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri (PPDNKK) melakukan pemantauan ber­­­­terusan terhadap 225 buah ste­­sen minyak di negeri ini bagi memastikan tiada cubaan melakukan penyelewengan.

“Pada masa ini, kita belum menerima aduan dan tidak terdapat laporan stesen minyak yang se­ngaja menutup operasi mereka bagi mengambil kesempatan atas penurunan atau kenaikan harga minyak setiap minggu.

“Orang ramai yang mendapati stesen minyak menutup operasi mereka boleh membuat laporan kepada PPDNKK di setiap daerah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pejabat Pendidikan daerah, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pegawai Pendidikan daerah, Basirun Abdullah Hasim.

Shahiruddin berkata, kerajaan memandang serius mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati cuba melakukan penyelewengan sehingga membebankan masyarakat setempat.

Beliau berkata, mana-mana pengusaha stesen minyak yang mahu menutup operasi walaupun selama sejam perlu memaklumkan kepada PPDNKK terlebih dahulu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus mempergiatkan Program Jom Bantu bagi memastikan seluruh masyarakat mendapat pembelaan sewajarnya.

“Pendekatan kerjasama semua agensi terlibat dalam program turun padang ini amat signifikan dalam menyelesaikan masalah rakyat di seluruh negeri.

“Kita bukan sahaja menghulurkan bantuan tetapi setiap agensi terlibat memberi penerangan dan terus melihat permasalahan rakyat di sesuatu kawasan,” katanya.