Program Sentuhan Kasih itu men­dapat kerjasama dan soko­ngan daripada Agensi Anti Dadah Ke­bangsaan (AADK) dan Pusat Pe­nagihan Narkotik (Puspen) Batu 13, Benta di sini.

Dalam program berkenaan, seramai 22 ketua keluarga asnaf masing-masing menerima sumbangan barangan makanan, pakaian terpakai dan wang tunai sebanyak RM150 yang disampaikan oleh Bendahari PSKALLK, Datuk Farid Abdul Manaf di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Benta.

Ahli PSKALLK turut mengadakan program ziarah ke rumah di Kampung Tanjong Besar melibatkan dua keluarga dan Kampung Kechau serta Kampung Jeram Batu masing-masing satu keluarga.

Penyelaras Bantuan Kebajikan PSKALLK, Iskandar Putra Muaz berkata, pertubuhan itu terpanggil menterjemahkan nilai kemanusiaan bagi membantu penduduk Lipis yang memerlukan bantuan sempena Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kita berusaha mengumpulkan dana sejak tiga bulan lepas daripada ahli pertubuhan ini terma­suk memperoleh derma daripada anak Lipis yang tinggal di Lembah Kelang.

“Saya berharap lebih ramai anak Lipis yang terdiri daripada kalangan penjawat awam pelbagai bidang profesional dan usahawan di Lembah Kelang dapat menyumbangkan dana kepada pertubuhan ini bagi tujuan amal jariah,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program tersebut.

Yang hadir sama Ketua Pegawai AADK Lipis, Noraini Jamin dan Pengarah Puspen Benta, Jailani Tameran.

Sementara itu, Setiausaha per­tu­buhan berkenaan, Noor Salwa Mas­ri, 48, berkata, program itu mendapat sokongan dan bantuan daripada ibu pejabat AADK menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Halim Mohd. Hussin yang mahu kakitangan agensi itu terlibat dengan kerja sosial dan kebajikan bersama PSKALLK khususnya membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Katanya, program berkenaan juga merupakan perintis aktiviti kemasyarkatan pertubuhan itu untuk membantu penduduk yang kurang berkemampuan selari de­ngan aspirasi konsep Masyarakat Penyayang yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“PSKALLK ditubuhkan atas keprihatinan kami yang berasal dari Lipis untuk membantu golongan susah di sini termasuk menjaga kebajikan seramai 300 orang ahli pertubuhan di Lembah Kelang,” katanya.

Dalam pada itu, seorang ibu tunggal Kampung Melayu Jerkoh, Benta, Zainab Abu Samah, 50, bersyukur menerima bantuan itu yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.