Ketua Seksyen Transformasi Kecemerlangan Pelajar YPM, Isa Chik berkata, penyertaan pelajar yang terus meningkat itu menyaksikan tuisyen yang mula diadakan pada 2013 berkenaan diperluaskan ke semua 222 Parlimen pada tahun ini.

“Program ini mencapai kejayaan apabila dapat membantu meningkatkan prestasi dan mutu pelajaran pelajar di seluruh negara dengan jumlah ke­seluruhan pelajar yang mengikuti program ini sejak 2016 ialah seramai 30,335 orang meliputi 12,989 pelajar bagi tahun 2016 dan 17,346 orang tahun lalu.

“Tahun ini, jumlah penyertaan pelajar meningkat apabila ia dilaksanakan di seluruh kawasan Parlimen melibatkan 111 pusat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 111 pusat untuk tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya dalam majlis perasmian Tuisyen Mara 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bera, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan daerah, Baharum Samat dan Pengurus Jualan Kawasan Pahang Celcom Axiata Bhd., Mohammad Rafiq Ramli.

Isa berkata, program tuisyen yang bermula Februari lalu, melibatkan empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Katanya, program yang meliputi 10 pertemuan sepanjang tahun itu mendatangkan manfaat dengan pelbagai bimbingan oleh guru berpengalaman.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain RM4.3 juta yang diperuntukkan YPM dalam program tersebut, pihaknya turut me­nerima sumbangan Celcom Axiata Bhd. kira-kira RM1 juta.

‘Dengan nilai sumbangan besar ini, Celcom menaja 29 pusat tuisyen di seluruh negara pada tahun ini berbanding hanya dua pada tahun lalu,” katanya.