Pengarah KKK, Rosli Zainuddin berkata, seramai 20 penuntut dari Malaysia dan Indonesia itu menjadi delegasi pertama terlibat dalam Program Southeast Asia-Technical And Vocational Education And Training (SEA-TVET) 2018 yang diadakan pada Mac dan September tahun ini.

“Program usahasama antarabangsa ini merupakan susulan daripada rangka kerja berkaitan bidang hospitaliti dan pelanco­ngan yang dibentangkan pada satu majlis di Brunei pada Jun 2016.

“Perkara itu dirancang bagi mengukuhkan lagi kemahiran antara negara-negara yang terlibat dalam SEA-TVET sekali gus membuka platform pertukaran pengetahuan dan kemahiran agar boleh diaplikasi dalam pembangunan kurikulum sela­ras kehendak industri global,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan KKK, Che Ariza Che Kassim; Timbalan Pengarah Akademik KKK, Zaitun Ismail dan Ketua Deligasi Polsri, Dr. Sri Gustiani.

Menurut Rosli, program ini bermula pada 19 hingga 29 Mac lalu iaitu kunjungan KKK ke Polsri dengan diikuti kunjungan balas institut pendidikan negara jiran itu di sini sejak 19 September sehingga hari ini.

“Antara program yang diadakan adalah lawatan ke institut pendidikan, penyertaan krusus pendek, dan eksplorasi makanan serta juadah tempatan,” jelasnya.

Sementara itu, seorang wakil pelajar dari Polsri, Singgih Rafianto, 20, berkata, dia amat teruja dapat belajar perkara baharu sepanjang berada di Malaysia terutama dalam bidang hospitaliti yang diajar secara menyeluruh di sini.

“Ini merupakan peluang untuk saya mengenali dan mempelajari konsep pendidikan di luar Indonesia selain mengenal budaya serta adat resam masyarakat khususnya di Pahang,” katanya.

“Keluarga angkat di sini juga baik dan ramah. Kunjungan kami di sini tidak seperti berada di negara asing tetapi umpama di rumah sendiri. Ia merupakan satu pengalaman berharga,” katanya.