Muhammad Khairul Azrizal Azman, 20, dan pasangannya, Tuan Quzaimatul Norakmarlina Tuan Mazlan, 21, begitu teruja dan gembira kerana akhirnya perkenalan selama lima tahun termeterai dengan sekali lafaz melalui program tersebut.

“Syukur, alhamdulilah kerana dapat menyertai program ini yang memudahkan urusan pernikahan saya dan pasangan.

“Inilah impian perkahwinan kami yang bukan sahaja diraikan ahli keluarga dan sanak saudara tetapi diarak bagaikan orang kenamaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seramai 19 pasangan tersebut diarak sejauh kira-kira enam kilometer menaiki bas RapidKuantan dengan diiringi sebanyak 10 buah kereta antik jenis Volkswagen dari Sungai Isap ke Masjid Negeri di sini.

Menurut pekerja am itu, semua belia seharusnya menyertai program pernikahan beramai-ramai dalam usaha menangani kos sara hidup pada masa kini.

“Dahulu mungkin kita rasa kekok atau malu disandingkan beramai-ramai tetapi saya rasa cara seperti ini bukan sahaja unik dan menarik tetapi begitu memudahkan urusan perkahwinan.

“Sangat berbaloi dan menjimatkan kerana dengan bayaran RM3,000 kita akan mendapat majlis yang dianggarkan antara RM7,000 hingga RM10,000 jika dilakukan bersendirian,” jelasnya.

Sementara itu, penganjur program, Nor Azura Mohamad berkata, beliau dari Glam Event Management dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhasrat memudahkan urusan umat Islam terutama pasangan muda untuk berkahwin.

“Kita sedar ramai pasangan muda yang belum berkahwin kerana kekangan dari aspek kewangan. Justeru, kita cuba untuk mempermudahkan urusan tersebut dengan hanya satu pakej.

“Dengan bayaran sebanyak RM3,000 setiap pasangan akan menerima 18 pakej sekaligus termasuk jurunikah, mas kahwin, jurugambar, pakaian, aksesori, jamuan makan untuk 100 orang bagi setiap pasangan dan perarakan bas serta kereta antik,” katanya.