Program Let's Grow Young-Stress Management itu dipenuhi dengan pengisian dan pendedahan yang relevan mengenai pe­ngurusan stres melalui aktiviti ceramah dan perbincangan dalam kumpulan.

Antara sekolah yang terlibat dalam bengkel berkenaan ialah SMK Ketari, SMK Karak Setia, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, SK Simpang Pelangai, SK Felda Lurah Bilut dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Karak.

Pengetua SMK Ketari, Zainab Harun yang merupakan salah seorang penceramah berkata, program yang menjurus kepada pengurusan stres dalam kalangan guru itu amat bertepatan dengan cabaran dalam sistem pendidikan masa ini.

Katanya, pendedahan berguna dalam program itu memberi panduan kepada guru untuk me­nguruskan tekanan seterusnya mampu berikan tumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Objektif program ini adalah bagi mendedahkan mengenai kaedah pengurusan stres yang berkesan memandangkan kegagalan dalam menanganinya memberi kesan negatif kepada semua pihak termasuk dalam pembangunan negara.

“Melalui program ini pendedahan kaedah berkesan menangani stres bukan sahaja dalam menghadapi cabaran di sekolah tetapi juga dalam rumah tangga dan di luar rumah,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran program berkenaan yang turut melibatkan guru di SMK Ketari disambut baik guru di sekolah berkenaan yang mempunyai 954 pelajar.

Katanya, meskipun pelbagai program dilaksanakan melibatkan guru sepanjang tahun ini tetapi program itu merupakan program pengurusan stres pertama yang diadakan melibatkan guru.

“Program ini mendapat maklum balas positif daripada guru dan kita berharap program se­perti ini yang dianjurkan empo­wer Wilayah Ekonomi Pantai Ti­mur (ECER) akan diteruskan lagi,” katanya.