Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata, statistik itu termasuk insiden tumpahan minyak akibat perlanggaran kapal MV APL Denver dengan MV Wan Hai 301 di perairan Johor, baru-baru ini.

“Kejadian di Johor beberapa bulan lalu menyebabkan pencemaran yang serius. Statistik ini menunjukkan kejadian pencemaran tumpahan minyak sukar diramal dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kegagalan kita untuk bertindak balas (operasi pembersihan) akan menyebabkan kerosakan lebih besar kepada ekosistem marin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Latihan Table Top Kawalan Tumpahan Minyak peringkat kebangsaan di Bukit Gambang Resort City di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Kamarulnajuib, garis panduan sedia ada berhubung operasi pembersihan melibatkan pelbagai agensi kerajaan perlu penambahbaikan bagi mengelakkan kerosakan ekosistem marin yang merupakan aset semula jadi negara.

“Program latihan yang diadakan selama dua hari bermula pagi ini bertujuan menyelaraskan tugas agensi masing-masing dalam operasi pembersihan tumpahan minyak di perairan negara.

“Selain agensi kerajaan yang terlibat seperti JAS, Jabatan Laut, Unit Udara Polis Diraja Malaysia dan lain-lain, pihak industri (petroleum dan perkapalan) juga harus memiliki kelengkapan bagi menjalankan operasi mengawal tumpahan minyak,” katanya. UTUSAN ONLINE