Program disertai 300 peserta termasuk pelancong dari luar negara itu menemukan 120 spesies burung secara keseluruhannya sepanjang tiga hari ia diadakan yang berakhir hari ini.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, peserta turut menemukan 19 spesies burung terancam di sekitar taman negara itu.

“Saya lebih tertarik kepada penemuan spesies burung terancam ini kerana ia semakin hilang jika habitatnya terus diancam.

“Flora dan fauna di Taman Negara merupakan produk utama pelancongan di daerah ini dan penerokaan hutan yang tidak terkawal akan menjejaskan ekosistem mereka,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.

Yang hadir sama Pengarah Pejabat Kementerian Pelanco­ngan dan Kebudayaan negeri, Datuk Idros Yahya.

Ahmad Nazlan memberitahu, biarpun program tersebut lebih kepada memerhati burung namun secara tidak langsung ia dapat mendidik peserta untuk mencintai alam sekitar.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Persatuan Pencinta Burung Taman Negara yang berjaya menganjurkan program ini sejak 2014 malah mereka turut menarik ramai peserta dari luar negara termasuk Jerman, Sepanyol, Nigeria dan Thailand,” ujarnya.

Tambahnya, kehadiran ramai pakar haiwan dari luar negara bertindak sebagai sukarelawan telah banyak membantu para peserta untuk mendapatkan ilmu mengenai program tersebut.

Sementara itu, Idros berkata, program tersebut turut disertai oleh mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu dan Kolej Poly-Tech Mara Kampus Perlis serta Kelantan.

“Program ini akan diselitkan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2020 kerana ia mampu memacu ekonomi penduduk sebagai pemandu pelancong dan pengusaha hotel serta chalet,” katanya.