Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, daripada jumlah itu, lapan projek yang melibatkan pembinaan 2,652 unit rumah telah pun diduduki.

“Sebanyak 21 projek dengan pembinaan 4,983 rumah dalam proses pembinaan manakala 30 projek melibatkan 7,807 unit rumah telah pun lulus kebenaran merancang serta akan memulakan pembinaannya di tapak.

“Kita berharap pembinaan projek perumahan mampu milik ini dapat memberikan keselesaan kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat tawaran Projek Perumahan Rakyat Kampung Baris di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis berkenaan, seramai 53 orang menerima surat tawaran rumah mampu milik masing-masing ditawarkan dengan harga RM30,000 hingga RM35,000.

Adnan berkata, program perumahan mampu milik adalah inisiatif kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memastikan rakyat memiliki kediaman yang selesa.

Katanya, bagi memastikan ke­selesaan rakyat, kerajaan negeri akan melaksanakan program pembinaan rumah mampu milik secara berterusan dan menyeluruh.

“Projek seumpama ini akan terus kita rancang dan laksanakan, bukan hanya perumahan kos rendah tetapi pendekatan holistik kita merangkumi segenap penjuru negeri dan segenap lapisan rakyat yang memerlukan,” ujarnya.