Dalam kejadian pada pukul 7.25 petang itu, ribut petir selama 30 minit berkenaan mengejutkan penduduk termasuk menyebabkan orang ramai yang berada di pekan Sungai Koyan bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana ada bumbung premis yang tercabut di­terbangkan angin kencang.

Seorang penduduk Felda Su­ngai Koyan 1, Norsila Ibrahim, 48, berkata, dia tidak menyangka tiupan angin yang pada mulanya perlahan bertukar menjadi ribut disertai dentuman petir bersama hujan lebat.

“Ketika hendak menunaikan solat Maghrib, tiba-tiba beberapa keping atap bahagian dapur rumah saya tercabut diterbangkan angin. Rumah juga dirasakan bergoyang dengan kuat.

“Saya juga melihat atap rumah jiran diterbangkan angin kencang namun bersyukur kerana ribut yang melanda tidak menyebabkan penduduk cedera,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Norsila, dia bersyukur dan berterima kerana selepas kejadian itu, keluarganya dilawati oleh wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memberikan jaminan untuk membaiki kerosakan rumah.

Sementara itu, wakil ADUN Jelai, Zaila Zainol berkata, kesemua mangsa berkenaan sudah diziarahi dan diberikan sumbangan segera untuk memulihkan semula kerosakan rumah masing-masing.

“Kita akan terus memantau rumah yang rosak teruk khususnya bahagian bumbung supaya dapat diberikan bantuan tambahan apabila ADUN Jelai yang juga Menteri Besar datang melawat dalam masa terdekat,” katanya.