Penyelaras program berkenaan, Mohd. Syukri Jali, berkata, program itu bertujuan merancakkan sektor pelancongan dan hospitaliti di negeri ini khususya kawasan Merapoh dengan membabitkan penyertaan pengusaha bidang itu dan penggiat alam sekitar dari luar dan antarabangsa.

“Program ini dapat memper­kenalkan kompleks Gua Batu Kapur Merapoh sebagai lokasi kegiatan sukan ekstrem, riadah dan rekreasi di samping pengetahuan mengenai sejarah dan geologi di lokasi ini.

“Kita telah menggabungkan pemain sektor pelancongan dan hospitaliti dari Lembah Klang dan tempatan di sini termasuk pertubuhan belia dengan kerjasama Tourism Pahang sebagai strategi merancakkan kehadiran pengunjung ke sini,” katanya di Merapoh, dekat sini baru-baru ini.

Majlis perasmian dan pelepasan peserta bagi menjelajah hutan tropika Taman Negara Sungai Relau dan kompleks Gua Batu Kapur Merapoh disempurnakan oleh Ketua Pemuda UMNO Lipis, Mohd. Farid Mohd. Noor.

Yang hadir sama, Ketua Balai Polis Merapoh, Asisten Superintenden Abd. Rahman Abd. Jalil.

Mohd. Syukri berkata, perkataan ‘hogoh’ menterjemahkan komitmen penganjur bagi merangsang minat peserta melakukan kegiatan ekstrem, iaitu menjelajah Gua Batu Kapur dan mendaki Gunung Tahan.

“Usaha merancakkan sektor pelancongan di sini dapat memberi manfaat kepada pengusaha tempatan yang terdiri daripada penduduk Merapoh memperoleh pendapatan menerusi bidang hospitaliti, pengangkutan, makanan dan pemandu pelancongan,” ujarnya.

Seorang peserta program itu, Mohd. Fauzi Abdullah, 58, berkata, dia berpuas hati dapat menyer­tai ‘Jom Hogoh Merapoh Caves’.

“Perjalanan merentasi denai dan hutan Taman Negara Sungai Relau sebelum memasuki kawasan kaki gua batu kapur juga menyajikan keindahan alam sekitar yang jarang terdapat di destinasi percutian lain,” ujarnya.