Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pintu gerbang yang dibina itu turut mempamerkan identiti Selangor yang mampu memukau pengunjung yang melepasinya di kedua-dua arah.

Binaan ikonik berwarna kuning yang tersergam indah ditambah dengan hiasan seperti dua laras meriam serta lambang ne­geri Se­langor kelihatan gah di situ.

Seorang pelajar, Zamriah Mohd. Mydin, 21, berpendapat, tidak salah Kota Darul Ehsan dinaik taraf kerana ia menjadi tanda sempadan yang mempunyai nilai sejarah di kawasan berkenaan.

“Bagi saya, gerbang itu cantik berbanding yang terdahulu sekali gus menyenangkan orang ramai mengenali pemisah antara Kuala Lumpur dan Selangor terutama­nya bagi mereka pertama kali datang ke sini.

“Cuba bayangkan, jika pintu itu uzur dan buruk pasti menjelikkan persekitaran,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Nor Faizah Mahmud, 28, pula berpendapat, kerja-kerja baik pulih pintu gerbang yang dijalankan sebelum ini adalah penting untuk menjaga imej sesebuah negeri.

“Pintu gerbang itu juga merupakan jawapan kepada perta­nyaan di mana sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor. Oleh itu, ia haruslah cantik dan terurus,” ujarnya.

Sebelum ini ramai pihak mempersoalkan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf pintu gerbang yang membabitkan kos RM9.7 juta itu disifatkan sebagai pembaziran selepas Kota Darul Ehsan didapati tidak diselenggara dengan baik tiga tahun yang lalu.