Ketua Projek, Dr. Norilmi Ami­lia Ismail berkata, satelit berskala nano berkenaan yang dinamakan Malaysian Youth Satellite (MySat) diselaraskan secara bersama oleh sekumpulan pelajar sarjana dan kedoktoran Pusat Pe­nga-
jian Aero­angkasa universiti ber­kenaan.

Katanya, satelit itu dijangka dilancarkan tahun hadapan de­ngan kos keseluruhan sebanyak RM250,000.

“ Kami mahu orang ramai menjadi sebahagian daripada projek ini kerana tujuannya dibangunkan adalah untuk manfaat bersama malahan kos berkenaan lebih murah berbanding satelit sama yang dihasilkan mencecah RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara USM dengan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di sini baru -baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Prof. Dr.Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Noordin Ahmad.

Mengenai satelit berkenaan, Norilmi Amilia berkata, teknologi itu berkemampuan mencerap gangguan gelombang magnetik di angkasa yang boleh menentukan kejadian gempa bumi dan tsunami sebelum dihantar ke stesen di USM.

Katanya, kejadian gempa bumi dan tsunami boleh diramal menerusi satelit tersebut dalam tempoh antara tiga bulan hingga tiga minggu sebelum berlaku.

“Satelit ini berupaya meramalkan bencana alam berkenaan meliputi beberapa negara Asia Tenggara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Vietnam,” katanya.