Tidak dinafikan kejayaan itu bukannya datang bergolek malah jika usaha tersebut tidak ditingkatkan, kehebatan, keunikan dan kekayaan sejarah serta tempattempat menarik di Negeri Hang Tuah ini pasti akan dilupakan.

Sehubungan itu, Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri yang kini dikenali sebagai Tourism Melaka memainkan peranan yang amat  penting untuk meneruskan usaha memperkenalkan nama Melaka ke seluruh negara serta peringkat antarabangsa.

 Wartawan Utusan Malaysia, Fadzly Izab bersama jurugambar, Mohd. Azim Abd. Rahman baru-baru ini berkesempatan menemubual Pengurus Besar Tourism Melaka, Norena Jaafar untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai usaha serta inisiatif
badan tersebut dalam memajukan sektor pelancongan Melaka.


Utusan Malaysia: Boleh ceritakan tentang latar belakang dan sejarah mengenai Tourism Melaka?

Norena Jaafar: Unit Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka ditubuhkan kerajaan ne­geri pada 4 Oktober 2000. Pada peringkat awal, seramai enam pegawai dari Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dipinjamkan ke unit ini sebelum pengisian jawatan-jawatan lain dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kesesuaian.

Selaras dengan perubahan drastik yang berlaku di semua sektor khususnya sektor pelancongan di peringkat globalisasi, maka perkataan Unit telah ditukarkan kepada Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) pada 2004 dan kini bagi mempromosikan organisasi ini ke tahap yang lebih profesional dan berimej korporat.

Pada 2015, Bahagian Promosi Pelancongan ditukar namanya menjadi Tourism Melaka sebagai penjenamaan semula dengan merangka pelan promosi yang merangkumi sebanyak 159 acara dengan 18 acara utama negeri.

Apakah fungsi serta peranannya dalam sektor pelancongan negeri?

Fungsi utama penubuhan adalah untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang terbilang di rantau Asia selaras tema ‘Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia’ dan ‘Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO’.

Tanggungjawab Tourism Me­laka juga termasuk mengurus, menyelia, memantau dan menilai kepada pelaksanaan perancangan dan pelan tindakan selaras dengan Dasar Pelancongan Kerajaan Ne­geri iaitu memacu pembangunan pelancongan negeri.

Apakah perbezaan Tourism Melaka dengan Tourism Malaysia Melaka?

Fungsi Tourism Malaysia Melaka adalah untuk mempromosikan destinasi-destinasi yang terdapat di seluruh Malaysia dalam kalangan pelancongan di Melaka.

Bagaimanapun, penutupan pe­jabat Tourism Malaysia di seluruh negara baru-baru ini tidak banyak memberi kesan kepada kerajaan negeri kerana tugas-tugas mempromosikan Melaka secara fokus dan agresif sebenarnya dilakukan oleh Tourism Melaka sendiri.

Kami juga bertanggungjawab merealisasikan misi pelancongan negeri berdasarkan industri pelancongan agar menjadi penyumbang utama kepada Pertumbuhan Ekonomi (GDP) dan penjanaan peluang pekerjaan, menarik 20 juta pelancong berkunjung serta memanjangkan tempoh bermalam di negeri ini kepada tiga malam menje­lang 2020.

Apakah inisiatif untuk me­nge­kalkan ke­dudukan Melaka sebagai pusat pelancongan yang dikenali dunia?

Tourism Melaka mengambil pendekatan strategik dalam mem­­promosikan Me­laka sebagai destinasi pelancongan yang harus dilawati.

Kami turut menjalinkan kerjasama dengan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan dalam usaha menarik 16.75 juta pelancong melalui pelaksanaan program dan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa.

Selain daripada menganjur dan menyertai program pelancongan anjuran kerajaan negeri, Tou­rism Melaka turut mengadakan pelbagai program seperti Festival Pelancongan Melaka, Melaka Product Update, Minggu Kebudayaan dan Makanan di beberapa lokasi tumpuan di Lembah Klang, Pantai Timur, Utara dan Selatan Tanahair serta Sabah dan Sarawak bagi menarik pengunjung berulang dan juga baharu ke Melaka secara konsisten.

Bagaimana dengan usaha mempromosikan Melaka di peringkat antarabangsa?

Penyertaan Melaka di beberapa misi perdagangan pelancongan bersama pihak Tourism Malaysia dan lain-lain agensi kerajaan adalah sebahagian daripada usaha mempromosikan destinasi Melaka untuk pelbagai pasaran Eropah seperti United Kingdom (World Travel Market) dan Berlin (Internationale Tourism Borse), pasaran Asia Barat (Arabian Tra­vel Market), pasaran Asia termasuk India, China, Taiwan, Hong Kong, Korea, Jepun dan lain-lain, pasaran Oceania seperti New Zealand dan Australia (Asia-Pacific Incentives and Meetings Expo) dan negara-negara ASEAN bagi meningkatkan minat di kalangan pelancong tentang keunikan Melaka.

Selain itu, penglibatan Melaka di peringkat global sebagai ‘platform’ untuk meningkatkan dan memantapkan jaringan perniagaan dengan pemain-pemain industri pelancongan antarabangsa yang berpotensi dan mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul.

 

Apakah ciri-ciri utama yang me­rupakan faktor kekuatan Me­laka bagi menarik pelancong?

Selain tinggalan budaya dan sejarah, terdapat faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada kehadiran pelancong ke Melaka iaitu seperti faktor ke­selamatan, nilai mata wang, akses mudah, kesediaan penerimaan pelancong, fasiliti dan sebagainya.

Dalam menggalakkan lebih ramai pelancong untuk melancong ke Melaka, kerajaan negeri sentiasa melipatgandakan usaha memberikan kemudahan dan akses kepada pelancong yang tiba di Melaka dengan cara yang mudah dan selesa.

Kejayaan terkini diterima Ke­tua Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada 10 Ogos lalu apabila diangkat sebagai The Tourism Guru oleh majalah Where2 Tra­vel; Lifestyle, sebuah majalah tempatan berbahasa Inggeris di atas usaha dan sumbangan beliau terhadap industri pelancongan Melaka sehingga terkenal di seluruh dunia.

Pada pandangan anda, ba­gai­ma­nakah masa depan sektor pelancongan Melaka?

Sektor pelancongan merupakan penggerak utama kepada pembangunan negeri dan memainkan peranan yang penting dalam peningkatan kualiti hidup rakyat dan pendapatan negeri ini dan ia mempunyai masa depan yang cerah.

Kerajaan negeri baru-baru ini juga telah menetapkan sasaran 16.75 juta pelancong mengunju­ngi Melaka sepanjang 2017 selaras dengan hasrat kerajaan negeri mempromosikan Melaka di pe­ringkat antarabangsa sebagai destinasi yang harus dilawati.

Bagi mencapai tujuan tersebut, Tourism Melaka telah merangka pelbagai pelan promosi bagi me­rangsang pertumbuhan sektor industri pelancongan Melaka dan menarik minat pelancong untuk berkunjung ke Melaka.

Ia tidak termasuk program pemasaran dan promosi di pe­ringkat antarabangsa di negara-negara pasaran utama seperti Si­ngapura, China, United Kingdom, Arab Saudi, Eropah dan lain-lain.