Penyelarasnya, Tunaim Satiman berkata, usaha dilakukan sejak seminggu lalu mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak yang tampil memberikan sumbangan di pusat pe­ngumpulan barangan bantuan banjir di Kompleks Belia dan Sukan Johor Bahru, di sini.

Katanya, pusat pengumpulan barangan bantuan banjir turut dibuka di beberapa daerah lain bagi memberi ruang kepada agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam untuk menghulurkan bantuan ikhlas.

“Kita mensasarkan untuk mengutip sebanyak lima tan barangan makanan dan minuman untuk disalurkan di beberapa daerah yang paling teruk terjejas akibat bencana alam ber­kenaan. Pengagihan sumbangan ini dijangka akan dilakukan pada Rabu ini.

“Dengan pemberian yang dikumpulkan ini, kami berharap dapat meringankan beban serta memberikan keceriaan terhadap mangsa banjir yang terjejas teruk,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tunaim berkata, selain menyerahkan sumbangan dan bantuan, pihaknya juga akan menggerakkan tenaga sukare­lawan di beberapa daerah yang terjejas seperti di Segamat, Tangkak dan Muar bagi me­lakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

“Kira-kira seramai 500 sukarelawan yang akan terlibat dalam menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan utama seperti di sekolah, masjid dan surau, pejabat kerajaan dan kediaman warga emas,” katanya.

Katanya, pihaknya masih mengumpul sumbangan hingga hujun bulan ini dan orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh datang ke bilik pe­ngumpulan barangan berkenaan atau menghubungi Hakim di talian 017-6101648 bagi urusan penyerahan sumbangan.