Nik Anin Sofiya Mohd. Kamarul Zaman, 8, merupakan antara 1,000 penerima bantuan persekolahan menerusi program Ziarah Kasih 'Happy 2 School' Biro Keahlian dan Daftar Pemilih anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Yayasan Tabung Haji.

Nik Anin Sofiya berkata, dia bersyukur kerana terpilih me­nerima sumbangan itu termasuk pakaian sekolah, kasut dan beg baharu.

“Saya tidak sabar memulakan sesi persekolahan 2018 untuk ber­jumpa guru-guru serta rakan-rakan yang lain,” katanya selepas menerima sumbangan yang di­sampaikan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Temin di sini.

Majlis turut dihadiri Ketua Penerangan KP1M, Datuk Fathul Bari Mat Jahya; Pegawai Pendidikan Daerah, Ali Afandi Abdul Majid; Ketua Pemuda UMNO Je­rantut, Mohd. Zamri Abdul Rahim dan Ketua Puteri UMNO Jerantut, Norsarfinaz Mohd. Azman.

Nik Anin Sofiya yang bakal memulakan persekolahan di tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Rom di sini hadir menerima sumbangan sambil ditemani neneknya, Nik Khatijah Raja Ibrahim, 48.

Menurut Nik Khatijah, Nik Anin Sofiya menghidap penyakit terbabit sejak lahir dengan me­ngalami kecacatan di kedua-dua belah tangan dan kaki menyebabkannya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk ke sekolah. 

“Saya menemaninya mengambil sumbangan kerana ibunya sedang sarat mengandung manakala ayahnya bekerja sebagai pe­mandu lori,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Nazlan memberitahu, pihaknya akan menyerahkan sumbangan tersebut secara berperingkat-peringkat mengikut kawasan termasuk di pedalaman Ulu Tembeling.

“Saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa atau penjaga yang kurang berkemampuan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat untuk mereka menyediakan kelengkapan persekolahan kepada anak-anak,” jelasnya.