Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, kewujudan pos kawalan itu dapat memberi bantuan awal dan mengurangkan masa tindak balas bomba di bawah 10 minit sekiranya berlaku kecemasan.

Katanya, secara tidak langsung, langkah itu dapat mengurangkan risiko bencana ketika menghulur bantuan menyelamat nyawa mahupun harta benda.

“Saya difahamkan, pihak bomba negeri sedang mengkaji beberapa kawasan di Seremban dan Nilai bagi tujuan itu. Sebab itu, pos kawalan kebakaran akan ditubuhkan di mana-mana kawasan yang jauh dari balai bomba serta mempunyai masa lebih 10 minit untuk jentera penyelamat sampai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Pos Kawalan Kebakaran dan Skuad Bomba Media Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di Jalan Tun Dr. Ismail, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis.

Terdahulu, Jalaluddin melancarkan pos kawalan kebakaran di Stesen Petronas Jalan Tun Dr. Ismail yang menempatkan sebuah jentera bersama tujuh anggota.

Dalam pada itu, mengulas penubuhan Skuad Bomba Media, beliau berkata, ia merupakan pengiktirafan kepada media yang membantu bomba menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Katanya, skuad tersebut juga berupaya memupuk keseda-ran awam tentang kepentingan pencegahan kebakaran dan tindakan awal semasa kecemasan.