Memang tidak dapat dinafikan, kemajuan dan teknologi pada hari ini sedikit sebanyak menghakis warisan budaya dan aktiviti tradisi yang popular satu ketika dahulu.

Sehubungan itu, program Wa­risan Budaya [email protected] diadakan baru-baru ini bagi menanam minat masyarakat kepada budaya Melayu dalam kalangan rakyat negeri ini,

Kemeriahan jelas terpapar apabila pengunjung dapat melihat dan menyertai pelbagai acara tradisi dan kesenian di lokasi program di Inap Desa Laman Bangkinang, Kampung Tapak, Batu Kikir di sini.

Sepanjang dua hari, generasi muda khususnya dapat melihat sukan rakyat antaranya pertan­dingan menarik upih pinang, tangkap itik, tarik tali, panjat tiang licin dan sepak raga bulatan.

Paling mencuri tumpuan tentunya adat mengoca iaitu menangkap ikan di dalam kolam berlumpur dengan hanya menggunakan tangan.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Ne­geri Sembilan, Mohd. Radzi Omar berkata, melalui program itu, pengunjung juga dapat mendekati penduduk setempat dan memahami cara hidup mereka melalui acara-acara yang diadakan.

Ujarnya, dengan menggunakan tema ‘Moh Jongok Leluhur Kito’, program itu menyeru orang ramai untuk bersama-sama menyelusuri salasilah keturunan penduduk negeri ini.

“Selain itu, ia boleh menjadi salah satu tarikan kepada industri pelancongan menerusi pe­nyerlahan seni dan budaya Negeri Sembilan.

“Program itu juga dimasukkan di dalam kalendar pelancongan sekali gus membolehkan pelancong asing dan tempatan menge­tahui bahawa ia merupakan produk pelancongan di negeri ini,” ujarnya.

Program itu dianjurkan JKKN negeri dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, kerajaan negeri dan badan-badan bukan kerajaan berasaskan seni budaya negeri ini.

Beliau berkata, selain akti­viti seperti gotong-royong ken­duri adat, demonstrasi makanan tradisional dan pertandingan lagu Negeri Sembilan, program itu juga dimeriahkan dengan pertandingan ‘Badang Nogoghi’ dan gusti lengan.

Ujarnya, bagi menjawab sebarang persoalan orang ramai tentang sistem Adat Perpatih yang diamalkan di negeri ini, pihaknya turut mengadakan segmen Pangkin Bicara Adat.

“Kita juga tidak melupakan makanan tradisi dengan menyediakan segmen pertandingan memasak rendang pucuk ubi, gulai maman, masak lemak daging salai dan mengemping,” katanya.

Bagi memeriahkan acara perasmian beberapa artis kelahiran Negeri Sembilan turut membuat persembahan antaranya Ebby Yus, Waris, Asmidar selain penampilan Ally Noor dan Mastura.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelancongan negeri berkata, Datuk Mohd. Razi Kail berkata, acara yang julung-julung kali diadakan itu mampu menye­marakkan aktiviti kesenian tradisional dan meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap warisan budaya.