Neemah tidak menjadikan Ramadan sebagai alasan untuk bermalas-malasan atau berehat sebaliknya dia aktif melakukan aktiviti harian di rumah yang didiaminya seorang diri di Kampung Serting Ilir, di sini.

Yang mengkagumkan, dalam usia lebih satu abad, warga emas ini masih kuat mengopek kelapa, mencangkul dan membersihkan rumput, menyapu sampah di halaman rumah serta mencuci pakaian.

“Pagi-pagi saya ke halaman rumah tengok apa yang boleh dibuat. Cangkul rumput, sapu sampah. Sudah terbiasa buat kerja rumah, sebab itu semasa bulan puasa saya tak rasa penat.

“Cuma tahun sebelum ini saya kuat lagi, tahun ini badan sudah mula sakit-sakit tapi saya masih meneruskan ibadah puasa dengan sempurna,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Ditanya rahsianya tetap bertenaga semasa Ramadan, Neemah berkata, dia sentiasa bangun untuk bersahur tetapi hanya makan sedikit untuk mengalas perut supaya tidak lapar.

“Bersahur tu berpada-pada. Jangan makan macam kita takkan makan lagi. Bagi saya, cukup segelas air panas bersama sedikit nasi dan sejenis lauk. Kemudian, kurma sebagai pencuci mulut,” katanya yang merupakan bidan kampung.

Neemah yang mempunyai enam anak dengan lima daripadanya sudah meninggal dunia berkata, generasi sepertinya mengamalkan pemakanan sihat terutama ulam-ulaman dan herba sekali gus dapat menjamin kesihatan dan hidup lebih lama.

“Tengok budak sekarang, buat kerja berat sikit sudah tak puasa. Orang sekarang badan sudah tak kuat lagi macam orang dulu-dulu. Mungkin sebab pemakanan. Orang tua dulu banyak makan herba dan ulam kampung sebab itu badan sihat,” ujarnya.

Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, katanya, dia membuat persiapan ala kadar dan akan meraikannya bersama anak perempuannya dan cucu yang pulang beraya di kampung itu. - UTUSAN ONLINE