Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Per­umahan ne­geri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, selain keindahan alam semula jadi, Jelebu juga menawarkan pelbagai masakan istimewa Negeri Sembilan serta buah-buahan tempatan.


Video Oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN

“Ada dua jalan masuk ke Jelebu yang mempunyai landskap cantik iaitu dari Ampang, Selangor dan Seremban dengan kira-kira 200 rendezvous (lokasi berkumpul) sebelum sampai ke sini.

“Bikers boleh mencuba masakan istimewa Negeri Sembilan seperti masak lemak cili api. Je­lebu juga antara pengeluar durian Musang King terbaik dan tidak kurang hebat juga durian kampungnya,” katanya.

Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata demikian ketika berucap meraikan konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi anjuran Pekema (Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) Riders Club di restoran D’Cafe di sini, Sabtu lalu.

Yang turut hadir ialah Presiden Pekema Riders Club, Datuk SM Zulkifli SM Amin; Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Negeri Sembilan, Mimi Mazlin Mohamad Yusof dan ADUN Kuala Klawang, Datuk Yunus Rahmat.

Jalaluddin berkata, daerah itu juga menyediakan kemudahan hotel dan inap desa yang selesa untuk mereka yang ingin bermalam.

“Tidak semua tempat memiliki tarikan seperti yang ada di daerah ini. Saya harap daerah ini akan menjadi kunjungan bikers pada setiap hujung minggu,” katanya.