Naib Canselornya Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, USIM kini dalam peringkat memperkembangkan program-program yang dapat mengangkat pengajian dan kajian dalam ilmu berlandaskan Al-quran dan akal fikiran.

“Pada tahun ini, kami akan mengadakan seminar pendidikan tinggi dalam bidang Islam di peringkat serantau yang akan dihadiri peserta dan pembentang kertas kerja dari empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Seminar ini akan menjadi program berskala besar dan diadakan sempena majlis konvokesyen USIM pada hujung tahun ini.

“Kami mahu merealisasikan USIM sebagai kampus barakah dan kami kini berada di landasan untuk menjadi pusat rujukan intergrasi ilmu Naqli dan Aqli menjelang tahun 2025,” katanya dalam Majlis Hari Raya Aidil Fitri 2018 di Dewan Tuanku Canselor USIM di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abd. Razak dan kira-kira 1,500 tetamu.

Dalam pada itu, Musa berkata, majlis hari raya itu merupakan acara tahunan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan USIM yang bertujuan mengukuhkan silaturahim dan ukhwah antara warga kerja dengan pihak pengurusan, badan bukan kerajaan dan masyarakat.

Katanya, sebanyak 23 gerai yang menyediakan pelbagai makanan antaranya sate, nasi dan kuih-muih diuruskan oleh setiap jabatan di universiti itu.

Ujarnya, acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah me­­narik.