Justeru telah banyak usaha dilakukan untuk melebarkan jajahan lembah ilmu termasuklah menyediakan jajaran jalan yang sempurna selain melakukan pemasaran pendidikan bagi menjadikan kawasan Nilai, Sendayan, Enstek, Seremban, Port Dickson, Rembau dan Kuala Pilah sebagai zon pendidikan.

Ketika ini sudah banyak universiti dan kolej membuka kampus mereka di sini dan paling membanggakan adalah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menjadikan kawasan Nilai, dekat sini sebagai kampus induk mereka.

Sehingga 2017, sebanyak empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA); 22 IPTS; Politeknik (2); Kolej Komuniti (4) dan institut latihan (12) telah dibangunkan di negeri ini.

Menurut laporan portal kerajaan negeri, (www.bnns2rakyat.com), sejumlah RM12.97 juta diperuntukkan kepada anak-anak Negeri Sembilan dan RM83 juta daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) disumbangkan kepada yang berjaya melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT).

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM6.96 juta sepanjang tempoh empat tahun tersebut bagi pemberian insentif kepada 1,392 pelajar yang mendapat Ijazah Kelas Pertama dari universiti.

Selain itu, sejumlah RM1.58 juta diberikan kepada 113 pelajar peringkat sarjana dan RM110,000 kepada 11 pelajar ijazah kedoktoran sebagai insentif galakan melanjutkan pengajian di peringkat tersebut.

Dalam usaha memperkasakan pendidikan di peringkat tinggi, kerajaan negeri tidak melupakan institut tahfiz al-Quran apabila dasar menai ktaraf sekolah berkenaan kepada institusi yang menawarkan pengajian diploma menjadi kenyataan.

Buktinya, seramai 286 graduan telah menamatkan pengajian di Institut Tahfiz al-Quran Gemencheh dan terkini mempunyai 92 pelajar yang masih mengikuti pengajian.

Seiring pemerkasaan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu, kerajaan negeri turut memperbanyakkan perpustakaan awam di bawah pentadbirannya.

Sehingga 2017, sebanyak 26 buah perpustakaan merangkumi sebuah perpustakaan negeri; cawangan (7); pekan (2), taman perumahan (1), desa (13); masjid negeri (1) dan bas bergerak (1) dibina di seluruh negeri ini.

Laporan tersebut turut menyebut, pencapaian di peringkat sekolah iaitu bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) berada pada kelompok 10 teratas di peringkat kebangsaan.

Buktinya sepanjang 2013 hingga 2017, seramai 6,417 murid memperoleh kesemua ‘A’ bagi UPSR; 2,040 pelajar bagi SPM; 59 (STPM) dan 32 pelajar (STAM).

Kerajaan negeri turut memperkenalkan Pusat Pembangunan Skil Negeri Sembilan (NSSDC) dalam usaha menyediakan khidmat latihan kepada industri sekali gus platform mempromosikan kemahiran teknikal dan pengurusan setanding keperluan masa kini.

Sehingga 2017, seramai 65,470 pelatih telah diberi latihan dibawah projek usahasama kerajaan negeri dan gabungan industri swasta dengan geran latihan sebanyak RM118 juta.