Ahli Parlimennya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sambutan itu perlu dimulakan dengan pengibaran Jalur Gemilang di semua premis sama ada milik kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan individu.

Beliau yang juga Duta Malaysia ke Kemboja berkata, pe­ngibaran Jalur Gemilang bukan sesuatu yang rumit dan hanya memerlukan insiatif semua pi­hak bagi menzahirkan kasih sa­yang mereka kepada negara sem­pena hari kemerdekaan.

“Oleh kerana itu, saya menyokong sekiranya tindakan tertentu dapat diambil terhadap mana-mana premis perniagaan dan komersial yang enggan me­ngibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemer­dekaan negara.

“Walaupun tidak ada undang-undang mewajibkan pengibaran Jalur Gemilang, saya percaya satu bentuk tindakan masih boleh diambil terhadap mereka yang berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program penyerahan Jalur Gemilang kepada pemilik premis perniagaan sekitar bandar Kuala Pilah di sini

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Syahrul Nizam Saleh dan ahli-ahli majlis MDKP.

Sebanyak 300 Jalur Gemilang diedarkan kepada premis-premis perniagaan yang terletak di sekitar bandar tersebut dalam program dengan kerjasama antara MDKP, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Pilah dan Pejabat Daerah Kuala Pilah.

Sehingga kini, Hasan memberitahu, MDKP telah memasang 1,000 helai Jalur Gemilang di sepanjang Jalan Seremban-Kuala Pilah dan jumlah itu akan ditambah sebanyak 2,000 helai lagi melibatkan jalan raya utama di seluruh daerah tersebut.

Sementara itu, Syahrul Nizam berkata, pihaknya menjemput semua pihak menyertai Pertandingan Kibar Jalur Gemilang dan Keceriaan peringkat negeri sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2017.

Katanya, pertandingan itu yang dimulakan sejak tahun lalu telah menerima banyak penyertaan daripada agensi kerajaan, swasta dan individu.

“Pertandingan ini yang berlangsung sepanjang bulan ini dibahagikan kepada 12 kategori yang menawarkan hadiah ke-seluruhan bernilai RM29,500 kepada para pemenang,” katanya.

Borang penyertaan boleh didapati di pejabat SWCorp, Jabatan Penerangan, Pejabat Daerah atau melayari laman sosial Facebook Pertandingan Kibar Jalur Gemilang N9.