Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, daerah tersebut mempunyai lokasi alam semula jadi sebagai daya tarikan pelancong.

“Kita berazam untuk menukar pandangan masyarakat sama ada tempatan atau luar negara memandangkan apabila disebut sahaja pelancongan, kita selalunya lebih menjurus kepada pelancongan yang berunsurkan pantai, air terjun dan sebagainya.

“Namun sebenarnya, ia telah dipelbagaikan termasuk ekopelancongan yang merupakan salah satu produk yang boleh menjana pendapatan lumayan sama ada kepada negeri, negara mahupun kepada penduduk tempatan itu sendiri,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Jelebu International Motorcross Invitation 2015 di Jelebu Extreme Park, Jeram Toi, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS), Baharudin Jali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat dan Yang Dipertua Majlis Daerah Jelebu, Khairy Maamor.

Di Jelebu, Jalaluddin berkata, alam semula jadi yang kaya dengan khazanah alam pasti boleh menyumbang kepada pembangunan ekopelancongan dan kerana itu kerajaan negeri bercadang mengazetkan beberapa kawasan di daerah itu sebagai destinasi ekopelancongan.

“Saya cukup yakin dalam tempoh terdekat ini, kita boleh lihat perkembangan dalam industri pelancongan di Jelebu sebagai tempat yang bakal menjadi tumpuan masyarakat dalam dan luar negara,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau mahu mengaitkan aktiviti pelancongan yang sedang rancak di daerah berkenaan dengan trend penghijrahan anak-anak muda di luar bandar ke bandar.

“Masalah yang kita hadapi adalah dari segi populasi masyarakat kampung terutama daerah-daerah di pinggir bandar yang merupakan kawasan yang bakal kehilangan penduduk dari tahun ke tahun.

“Oleh itu, kerajaan terpaksa mengambil satu pendekatan melipatgandakan program yang dapat menjana ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Pertang berkata, peluang pekerjaan boleh dipelbagaikan dan sektor pelancongan di luar bandar adalah salah satu bidang yang boleh dipergiatkan.

“Jika rancangan ini dapat dijayakan, anak-anak muda terutamanya di Jelebu dapat menjadikan daerah ini sebagai tempat tinggal mereka dan mencari pendapatan,” jelasnya.

Seterusnya, kata beliau, beberapa program perlu dirangka dan diperbanyakkan seperti perumahan mampu milik dan perumahan golongan pertengahan untuk mereka tinggal di Jelebu.

“Dalam masa sama, kita boleh menarik masyarakat dari luar terutama penduduk Seremban dan Lembah Klang yang bersempadan dengan Kuala Lumpur ke Jelebu.

“Namun ia dengan syarat iaitu Jelebu mesti bersedia menampung keperluan mereka terutama ge-nerasi muda,” katanya.