Sempena bulan Ramadan ini juga, peniaga food truck tidak melepaskan peluang untuk mengambil tempat di beberapa tapak bazar bagi mendekati pelanggan mahupun penggemar makanan.

Tidak kurang juga yang memi­lih untuk berniaga di tempat asal mereka tatkala pengunjung dan pelanggan tetap sudah mengetahui lokasinya.

Bagi peniaga steamboat ‘De Ultimate Truck’, Muhammad Fauzi Ahmad, 28, dia memilih untuk kekal di tempat asal perniagaannya berhampiran Dataran Centrio Seremban 2.

“Perniagaan food truck steamboat ini sudah beroperasi selama setahun lapan bulan dan telah meraih ramai pelanggan tetap.

“Justeru saya memilih untuk kekal disini bagi memudahkan pelanggan datang dan nikmati hidangan yang disediakan tanpa perlu bersesak di bazar Ramadan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Muhammad Fauzi, perniagaannya dilanjutkan sehingga pukul 3 pagi sepanjang bulan Ramadan bagi memberi peluang kepada para pelanggan menikmati makanan kegemaran mereka sebagai juadah sahur.

Masih mengekalkan konsep santai dan terbuka, De Ultimate Foodtruck menyediakan 40 jenis pilihan steamboat kepada pelanggan dengan harga antara RM1.50 hingga RM2 sebatang.

Sementara itu bagi pemilik Hunger Food Truck, Aidil Saiful Zaizatul Akmal Zorkalnain, 26, dia memilih untuk menempatkan lori food truck di bazar Ramadan bagi memberi peluang kepada pelanggan baharu merasai hida­ngan yang disediakan.

Selain itu katanya, keputusan itu sebagai strategi mengembangkan lagi perniagaan di samping meraih lebih ramai pelanggan baharu.

“Sepanjang Ramadan, Hunger Food Truck beroperasi di bazar Ramadan Garden Homes di Se­remban 2 bermula 4.30 petang hingga 7.30 malam.

“Antara juadah yang disediakan adalah roti john, nasi lemak Royal bungkus, bihun goreng dan air jagung,” katanya.

Menurut Aidil Saiful Zaizatul Akmal, pernigaannya yang baru memasuki bulan kedua sebelum ini beroperasi di Dataran Centrio Seremban 2.

Masih mengekalkan konsep sedia ada, Hunger Foodtruck menyediakan pelbagai hidangan mudah termasuk pilihan pasta dan sandwic.

“Antara yang menjadi kegemaran ramai adalah roti john kami yang padat dengan isi daging atau ayam dan disaluti sos istimewa buatan sendiri.

“Orang ramai yang ingin mencubanya boleh datang ke bazar Ramadan Garden Homes Seremban 2 untuk merasai kelainannya,” katanya lagi.