Festival selama sebulan itu adalah julung kali dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bertujuan menawarkan pelbagai aktiviti untuk orang ramai dan menyemarakkan sektor pelancongan di bandar Seremban.

Sebanyak tujuh acara disediakan untuk orang ramai dengan empat acara sudah pun selesai dan tiga acara lagi akan diadakan pada hujung minggu ini dan minggu depan.

Acara yang telah selesai ialah Pertandingan Memancing pada 7 November lalu, Urban Trail (7 November), Pertandingan Mewarna 1,000 Kanak-Kanak (14 November) dan Seremban Kraf selama sembilan hari mulai 7 November lalu.

Pertandingan Arca Taman akan diadakan pada 21 November ini, Auto Show (22 November) dan Larian Keluarga (28 November).

Sebanyak 18 gerai pameran telah ditampilkan dalam Pameran Seremban Kraf iaitu tekstil batik, sulaman, manik, inai, tulisan khat, seramik, anyaman rotan, songkok, tembaga dan logam serta hasil rimba.

Terdapat lapan gerai masakan tradisional di pameran itu antaranya menjual lemang, rendang, kuih denderam, bahulu, otak-otak, dodol dan air ‘janda pulang'.

Penganjur juga menyediakan satu gerai buah-buahan serta pentas demo melibatkan pelajar sekolah yang mengadakan demonstrasi an­yaman bakul dan lukisan seramik.

Sementara itu, hampir 2,000 pengunjung dan peserta kanak-kanak hadir dalam Pertandingan Mewarna 1,000 Kanak-Kanak.

Pertandingan ini adalah untuk peringkat umur lima hingga 17 tahun dan melibatkan ibu bapa yang memberi galakan dan sokongan kepada anak-anak mereka.

Ia bukan hanya sekadar pertan­dingan mewarna, malah memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai alam sekitar.

Dalam acara Seremban Urban Trail-Eco Race 2015, sebanyak 123 kumpulan telah bersaing bagi me­rebut hadiah utama iaitu wang tunai RM2,000, kedua (RM800), ketiga (RM500) dan 14 hadiah saguhati bernilai RM150 setiap satu.

Acara itu bermula berdekatan Pentas Terapung Taman Tasik Se­remban yang perlu melalui sebanyak 11 checkpoints dengan jarak enam kilometer meliputi beberapa lokasi menarik di sekitar bandar Seremban seperti Istana Hinggap, bangunan bekas Perpustakaan Ne­geri, Galeria Diraja Tuanku Jaafar, Taman Tasik Seremban dan Kompleks Al-Saadah.

Festival Taman Tasik Seremban 2015 diadakan sepanjang bulan ini dan akhbar Utusan Malaysia dipilih sebagai rakan strategik bagi melakukan hebahan dan publisiti.