Pengusaha kedai tersebut, Datuk Adzwan Ab. Manas mendakwa, remaja tersebut telah tiga kali melakukan perbuatan tidak senonoh itu dengan kejadian terbaharu pada pukul 1.30 petang Selasa lalu.

Menurutnya, akibat tidak tahan dengan perbuatan tersebut, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Seremban 2 pada pukul 5 petang tadi.

“Kejadian pertama dan kedua berlaku pada bulan lalu. Pada awalnya, saya menyangka najis itu ditinggalkan oleh haiwan yang berkeliaran di kawasan ini.

“Bagaimanapun, selepas kali ketiga menemukan najis di premis ini, saya telah meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan terkejut melihat seorang remaja membuang air di tempat sama.

“Lebih mengejutkan apabila rakaman turut menunjukkan dia ditemani seorang wanita dipercayai ibunya ketika kejadian itu,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, semasa kejadian pertama, remaja terbabit meninggalkan najis ketika berpakaian sekolah manakala dua kejadian lain, dia mengenakan pakaian biasa.

“Berdasarkan rakaman, ibunya seolah-olah melindungi perbuatan anaknya.

“Saya tidak tahu motif mereka melakukan perkara tidak senonoh itu di tempat awam,” katanya yang menjalankan perniagaan sejak tiga tahun lalu. - UTUSAN ONLINE