Dibina di atas tanah seluas 0.85 hektar, pusat tersebut yang terletak di Batu 7, Telok Kemang berfungsi sebagai penggalak kepada pembangunan industri marin terutama­nya ikan hiasan marin, kuda laut dan batu karang.

Selain menjadi pusat asuhan pelbagai spesies ikan ­hiasan, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zainudin Abd. Wahad berkata, pusat itu juga menjadi tempat rujukan melalui penyelidikan dan pemba­ngunan (R&D) yang turut di­sertai beberapa buah universiti tempatan.

“Selain itu, pusat ini turut berfungsi sebagai platform pelaksanaan aktiviti pemuliharaan sumber perikanan marin selain menjadi tempat tarikan pelancong yang berkunjung ke Port Dickson.

“Kita turut me-lakukan kajian kultur dan pembiakan ikan Inggu (clown fish) untuk mewujudkan satu teknologi baharu ternakan ikan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Lebih menarik, 80 peratus daripada hidupan marin yang diternak dan dibiakkan di Pusat Ikan Hiasan diambil dari perairan Tanjung Tuan, yang diwartakan sebagai kawasan larangan perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 Peraturan-peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994.

Sehingga kini katanya, pusat tersebut membiak lebih 40 jenis ikan hiasan termasuk 20 jenis batu karang menggunakan kaedah teknologi baharu.

Tambah beliau, makmal pembiakan kini menempatkan 10 pasang ikan Inggu di sam-ping 20 ekor kuda laut bagi tujuan sama.

“Pusat ini juga menawarkan beberapa kursus bertujuan untuk melahirkan usahawan industri ikan hiasan marin selain memberi peluang kepada Jabatan Perikanan mengembangkan teknologi pembiakan.

“Antara kursus yang ditawarkan adalah kultur dan propagasi karang, kursus asas ternakan kuda laut dan kursus penyediaan akuarium ikan hiasan marin,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Ketua Pusat Ikan Hiasan, Nawar A.Karim, pengunjung berpeluang untuk menyentuh hidupan marin secara langsung selain merasai suasana kondusif yang disediakan di pusat tersebut.

Katanya, antara tarikan lain yang disediakan di pusat ber­kenaan adalah konservasi penyu karah dan agar.

“Pusat ini juga menyediakan kawasan pembiakan penyu agar dan karah yang di­letakkan di luar bangunan dan pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri cara membiakkan dua spesies berkenaan.

“Kajian pemakanan penyu juga dilakukan bermula dari penetasan sehingga peringkat dewasa sebelum dilepaskan di perairan laut Port Dickson,” katanya.

Antara kemudahan yang terdapat di pusat berkenaan adalah kawasan pembiakan dan asuhan, galeri pameran, makmal, sistem bekalan dan rawatan air serta ruang pembungkusan dan pemunggahan.

Pusat Ikan Hiasan Telok Kemang dibuka setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang (Isnin hingga Jumaat),manakala pada pukul 10 pagi hingga 4 petang (Sabtu dan Ahad) dan masuk adalah percuma. Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut boleh melayari laman sosial Facebook Pusat-Ikan-Hiasan-PD atau hubungi 06-6621089.

Pusat Ikan Hiasan sebagai penggalak kepada pembangunan marin terutama ikan hiasan, kuda laut, batu karang