Pengurus Wilayah Negeri Sembilan & Melaka, Dr. Al’ Ashari Othman berkata, syarikat itu sentiasa bersiap siaga dan telah mengenal pasti beberapa lokasi penting yang memerlukan perhatian dan tindakan operasi pembersihan semasa perayaan itu.

Katanya, tumpuan kerja-kerja operasi meliputi pasar-pasar awam (32 lokasi), pasar tani dan pasar tani mega (13), bazar Ramadan (55), bazar raya (13) serta pusat beli-belah dan pasar raya (47) di negeri ini.

“Sebanyak 38 buah lokasi jualan hari mantai yang menjadi tumpuan bagi penjualan daging dan lemang sebelum menyambut Aidilfitri juga telah dikenal pasti dan akan dipantau tahap kebersihannya dari semasa ke semasa.

“Selain itu, tumpuan kerja-kerja ini juga akan melibatkan 11 buah lokasi yang menjadi tum­puan pelancong dan pengunjung di Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang akhbar operasi itu di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong dan Pengarah SWCorp negeri, Zainal Fitri Ahmad.

Menurut Al’Ashari, SWM Environment akan menyediakan 81 buah kompaktor dan 38 lori terbuka pada hari pertama Aidilfitri dan jumlah itu ditambah menjadi 101 lori kompaktor dan 58 buah lori terbuka pada hari kedua.

Ujarnya, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, pihak SWM Evironment akan menyediakan anggota Unit Khas Raya bagi menangani sebarang masalah yang melibatkan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Orang ramai yang ingin membuat aduan atau pertanyaan diminta menghubungi talian Indahkan Malaysia di 1-800-88-7472 yang akan beroperasi seperti biasa semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.