Turut diraikan ialah pihak berkepentingan dan para pengamal media.

Pengarah Eksekutif SWM, Dr. Uzir Abdul Malik berkata, program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu yang sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya.

“Program ini menyasarkan pertubuhan kebajikan dan bertujuan membangkitkan keceriaan sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada penghuni serta membudayakan pemberian semula hasil syarikat kepada komuniti,” katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong; Pengurus Besar SWM, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin dan Pengurus Wilayah SWM Melaka dan Negeri Sembilan, Dr. Al’Ashari Othman.

Uzir berkata, anak-anak dari Pertubuhan Asnaf Murni itu turut menerima sumbangan berupa duit raya, beg, alat tulis dan barangan keperluan harian.

Selain itu, tambahnya, SWM turut meraikan kedatangan Syawal bersama-sama pihak berkepentingan yang telah banyak membantu syarikat itu dalam memastikan kelancaran perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini.

Majlis berkenaan telah diserikan dengan persembahan muzik bagi menceriakan para tetamu di samping aneka hidangan. - UTUSAN ONLINE