Kebanyakan rakyat Malaysia khususnya di negeri ini boleh dikatakan meminati pelbagai jenis sukan akan tetapi daripada segi pengamalannya jumlah tersebut boleh dihitung di beberapa kawasan rekreasi dan padang untuk bersukan.

Malah, stigma yang sering kali melekat dalam kotak pemikiran yang melihat sukan hanya untuk menang atau anugerah tertinggi tanpa memikirkan kesan positif terhadap masyarakat perlu dibuang.

Justeru, platform menerusi Hari Sukan Negara yang diadakan baru-baru ini dilihat sebagai penamat persepsi negatif dan setiap rakyat di negeri ini boleh bersukan demi menjaga kesihatan.

Bukan itu sahaja, aktiviti bersukan landasan terbaik bagi memupuk perpaduan antara kaum tanpa mengenal warna kulit mahupun atau agama dan bangsa.

Bahkan sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri ini juga melakar sejarah tersendiri dengan memperoleh pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Rekod berkenaan dicatatkan oleh Jabatan Belia Sukan negeri ini apabila menghimpunkan penyer­taan 1,395 orang kurang upaya (OKU) di seluruh negeri ini dalam acara aerobicthon.

Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh wakil dari MBOR, Pooi Ling dan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum dise­rahkan kepada Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Azura Sarbin.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr. Awaludin Said; Setia­usaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris.

Mohamad ketika ditemui menjelaskan, aktiviti sukan tersebut tidak hanya diletakkan kepen­tingannya terhadap orang yang normal bahkan ia meliputi go­longan OKU yang dilihat turut penting dalam menjaga kesi­hatan.

Jelasnya, golongan OKU juga mahu penglibatan mereka dalam sukan tidak dipinggirkan kerana aktiviti sukan dilihat sebagai satu wadah untuk menjamin kesihatan selain perpaduan dalam kaum.

“Bagi saya ini adalah satu pencapaian yang luar biasa dan ke­sungguhan mereka seharusnya dijadikan contoh kepada orang ramai yang tidak mempunyai masalah kesihatan agar sama-sama membudayakan sukan.

“Dalam sukan ini matlamatnya bukan sekadar untuk mencungkil bakat-bakat baharu ataupun mencapai kemenangan akan te­tapi matlamat utamanya untuk me­wujudkan masyarakat yang sihat dan cergas.” katanya.

Menurut Mohamad, program berkenaan mendapat sambutan daripada semua pihak di seluruh negeri ini yang turut mengadakan program yang sama di setiap tempat dengan penyertaan sebanyak 324,000 orang.

Jelasnya, pencapaian ber­kenaan sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan sebanyak 15 peratus bagi setiap negeri untuk program yang dilancarkan secara serentak seluruh negara.