Pengarahnya, Ramli Ismail berkata, konvoi itu disertai kakitangan SPRM dan ahli Kelab Pemotoran Negeri Sembilan dengan melibatkan 20 buah motosikal berkuasa tinggi dan enam buah kereta.

Beliau berkata, konvoi akan singgah di destinasi pertama di pekan Rembau dan mengedarkan risalah serta bahan kempen berkaitan pencegahan rasuah kepada orang ramai.

“Konvoi kemudian akan ke Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Daerah Tampin serta Kuala Pilah dan Pejabat Daerah Port Dickson bagi mengadakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kakitangan mereka,” katanya dalam Majlis Pelepasan Konvoi Kejar 17 di Wisma Negeri di sini hari ini.

Pelepasan konvoi disempurnakan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan dan turut dihadiri Pegawai Kewangan negeri, Datuk Johani Hassan.

Ramli berkata, konvoi itu akan berakhir di Dewan Majlis Perbandaran Seremban di sini dan disusuli dengan majlis IBR yang melibatkan 500 kakitangan dari lapan agensi dan jabatan kerajaan negeri.

Ujarnya, antara yang akan menyertai ikrar itu adalah kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Yayasan Negeri Sembilan, Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan dan Jabatan Alam Sekitar negeri. - UTUSAN ONLINE