Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, jumlah benih itu merupakan rekod paling banyak dilepaskan sekali gus mencatatkan sejarah baharu dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan negara.

“Kita memilih Sungai Timun kerana ia terkenal dalam kalangan pemancing udang galah. Bagaimanapun, kita dapati pendaratan udang galah semakin berkurangan sejak tahun 2011 iaitu sebanyak 3.52 tan metrik kepada 0.61 tan metrik pada tahun 2015.

“Justeru, menjadi tanggungjawab jabatan ini bagi memulihara dan meningkatkan sumber udang galah di Sungai Timun,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Pangkalan Nelayan Sungai Timun di sini.

Pelepasan benih udang galah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi.

Ismail berkata, program tahunan yang diadakan Jabatan Perikanan itu dapat meningkatkan sosioekonomi nelayan dan penduduk setempat serta mendidik masyarakat untuk menghargai sungai dan alam sekitar. - UTUSAN ONLINE