Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, bagi jenis pengunaan perdagangan dan perindustrian kadar baharu yang dikenakan bagi penggunaan air dari sifar hingga 35 meter padu adalah sebanyak RM1.85 berbanding tarif lama sebanyak RM1.50.

Sementara itu, bagi penggunaan melebihi 35 meter padu pula dikenakan sebanyak RM2.70 berbanding tarif lama sebanyak RM1.60.

“Bagi bangunan kerajaan, institusi kerajaan, institusi berkanun dan bangunan badan berkanun pula, kadar baharu yang dikenakan adalah sebanyak RM1.40 berbanding kadar lama sebanyak 60 sen.

“Keputusan ini dibuat dan dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan negeri,” katanya yang memaklumkan tarif berkenaan tidak pernah dinaikkan sejak 2002.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Merasmikan Jajaran Baru Bekalan Air dari Loji Rawatan Air Sawah Raja ke Rembau dan Pen- yampaian Sumbangan Sempena Sambutan Ramadan di Astana Raja dekat sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr. Awaludin Said dan Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Wan Rasdi Wan Ismail.

Mohamad juga pada masa sama menegaskan tidak ada kenaikan tarif bagi pengguna domestik yang merupakan 70 peratus daripada lebih 288,000 pengguna di negeri ini selain mengumumkan penamatan pengambilan air terawat sebanyak dua juta gelen sehari dari Melaka sejak 1 Mei lalu.

Mengulas mengenai program itu, beliau memberitahu, projek jangka pendek yang menelan belanja sebanyak RM3 juta itu dilihat berupaya untuk menyelesaikan masalah catuan air yang terpaksa dilakukan oleh pihak Sains sejak tahun lalu sehingga awal tahun ini.

Katanya, menerusi jajaran baru itu, keupayaan pengeluaran air te- rawat dari Loji Rawatan Air (LRA) dari Sawah Raja akan ditingkatkan dan pada masa sama kebergantungan bekalan air dari Empangan Gemencheh akan dikurangkan.

“Pada masa yang sama kita juga telah mengeluarkan tender bagi projek pembinaan LRA Sawah Raja 2 dekat sini yang mana loji berkenaan mampu menghasilkan air terawat sebanyak 12 juta gelen sehari.

“Apabila siap sahaja nanti, loji ini bukan sahaja untuk penduduk di sini dan Tampin bahkan lebihannya akan dibawa ke sekitar Port Dickson yang mana pembangunan pesat akan berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.