Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebuah syarikat yang mempunyai rekod baik dalam senarai Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) telah dilantik bagi kerja-kerja tersebut yang dijangka siap pada Jun tahun depan.

“Kita membuat keputusan untuk melantik syarikat itu melalui rundingan terus kerana jika melalui sistem tender akan mengambil masa yang lebih lama dan melambatkan kerja baik pulih.

“Kita juga menetapkan tempoh lapan bulan untuk projek itu siap sepenuhnya termasuk kerja membina semula 292 gerai di tingkat atas pasar itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada peniaga di Pasar Besar Seremban di sini hari ini.

Seramai 304 peniaga yang terjejas dalam kebakaran di pasar itu masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM1,500.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza; Yang Dipertua MPS, Datuk Abdul Halim Abd. Latif dan Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Dr. Lim Chin Fui.

Dalam pada itu, Mohamad meminta pihak MPS supaya menyediakan kemudahan eskalator (tangga bergerak) untuk kemudahan orang ramai terutama warga tua yang berkunjung ke pasar berkenaan.

“Pasar ini juga menjadi tempat pertemuan bagi warga tua, mereka datang ke sini berjumpa kawan lama. Saya harap pihak MPS sediakan bajet untuk letak eskalator dan kerajaan negeri akan membantu. Ini akan memudahkan warga tua yang tidak kuat untuk naik tangga ke tingkat atas,” katanya.

Ujarnya, beliau melihat kewujudan pasar itu menjadi nadi kepada kerancakan aktiviti di pusat bandar Seremban dan tidak bercadang memindahkannya ke lokasi lain.

“Sebab itu saya batalkan cadangan yang dibuat sebelum tahun 2004 untuk memindahkan pasar ini ke Bukit Kepayang, walaupun pasar tersebut telah siap. Kalau pasar ini berpindah, bandar Seremban akan ‘mati’ sebab ia umpama jantung dan nadi kepada bandar ini,” katanya.