Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, lima sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Nuri, Kuala Pilah; SK Pedas (Rembau); SK Pasir Besar (Tampin);SK Senawang (Seremban) dan SK Datuk Undang Abdullah (Jelebu).

“Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan pada awalnya telah mengenal pasti 20 buah sekolah menengah dan rendah yang ditafsir berstatus sekolah atau mempunyai bangunan daif.

“Sebanyak lima buah sekolah rendah telah diberi keutamaan untuk digantikan dengan bangunan baharu dan dua projek daripadanya telah siap sekali gus di-serahkan iaitu SK Senawang pada 15 Ogos dan SK Nuri, 4 Oktober lalu,” katanya ketika Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Abu Samah Mahat (BN-Johol) mengenai langkah-langkah yang dilaksana kerajaan bagi mengatasi permasalahan dihadapi sekolah luar bandar yang kekurangan tenaga pengajar dan keadaan fasiliti yang daif.

Mengulas lanjut Shamsulkahar (BN-Serting) berkata, bantuan turut disalurkan ke sekolah luar bandar yang memerlukan pembaikan pagar di bawah Projek Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Khas.

Katanya, beberapa buah sekolah di Johol telah terlibat iaitu SK Dato’ Inas dengan kos RM28,200; SK Undang Kamat (RM15,000); Sekolah Menengah (SM) Agama Johol (RM65,800) dan SM Agama Sains Kuala Pilah (RM20,000).

Sementara itu menjawab per­tanyaan mengenai masalah kekurangan tenaga pengajar, Shamsulkahar memberitahu, beberapa tindakan telah dilaksana bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah luar bandar.

“Antara tindakan yang diambil adalah penempatan semula dengan pihak Sektor Pengurusan Sekolah di Jabatan Pendidikan negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan membuat semakan analisis data keperluan guru serta pengisian semasa guru di sekolah.

“Berdasarkan semakan ini, guru-guru ditempatkan semula mengikut keperluan opsyen di samping data pengisian guru mengikut opsyen akan sentiasa dikemas kini untuk memudahkan penempatan guru baharu mengikut keperluan opsyen di sekolah,” katanya.

Ujarnya, bagi guru yang bukan opsyen dalam bidang yang dipohon dan mengajar sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut, mereka boleh memohon dalam bidang yang sama diajar di sekolah.