Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, jumlah tersebut melibatkan kira-kira 100 peserta yang mengusahakan pelbagai tanaman buah-buahan dan sayuran.

Menurut beliau, hasil dan nilai pengeluaran pertanian antaranya nangka madu J33, timun, petola dan labu air berkenaan direkodkan dari tahun 2011 sehingga Ogos lalu.

“Di Negeri Sembilan, kami me­ngakui projek TKPM dan Ladang Rakyat membawa kesan baik kepada rakyat dan kejayaannya telah terbukti.

“Kejayaan yang diraih ini juga selari dengan moto kerajaan Negeri Sembilan iaitu memakmurkan negeri, mensejahterakan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Gelombang Tani Negara di TKPM Kampung Bemban di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Pertanian negeri, Mat Iesak Ngathinee.

Menjelas lanjut, Hasim berkata, keluasan tanah yang telah dibangunkan di negeri ini bagi lima projek TKPM adalah 387 hektar manakala tiga projek Ladang Rakyat seluas 41 hektar.

Beliau memberitahu, dalam tempoh tujuh tahun sehingga Ogos lalu, seramai 322 peserta projek itu berjaya mencapai matlamat penubuhan TKPM dan Ladang Rakyat apabila pendapatan bersih mereka melebihi RM3,000 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak bercadang membuka TKPM dan Ladang Rakyat baharu dalam tempoh terdekat kerana masih terdapat beberapa kekosongan lot tanah di TKPM Air Baning dan Sendayan.

“Jadi, kami buka peluang ini terutama kepada golongan muda untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian. Tempat telah disediakan cuma minat dan kesungguhan diperlukan untuk berjaya,” ujarnya.