Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata remaja berumur 19 tahun itu ditahan pada 11.20 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Katanya ketika pemeriksaan dijalankan di rumah, polis merampas 15 bungkus cecair ketum dianggar 7.5 liter diisi di dalam sebuah kotak polisterin serta dua plastik hitam mengandungi daun ketum yang dianggarkan seberat sembilan kilogram dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM1,000.

"Siasatan awal mendapati cecair ketum itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan dijual dengan harga RM10 sebungkus. Suspek mendapat bekalan daun ketum daripada negeri di bahagian utara dan bekalan air ketum dipercayai untuk diedarkan kepada 100 orang di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Aidi Sham berkata permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. - BERNAMA