Qari negeri Kedah itu berkata, beliau baru pulang dari mengadakan persembahan di luar negara kira-kira seminggu lalu dan diserang demam dan batuk.

“Disebabkan keinginan untuk memberikan komitmen yang terbaik, saya tetap mengadakan latihan sejak pulang dari luar negara bagi membolehkan saya mengalunkan bacaan,” katanya kepada Utusan Online selepas memperdengarkan bacaan pada malam ketiga tilawah tersebut.

Menurutnya, walaupun mempunyai pengalaman dalam persembahan nasyid dan pengacara televisyen, beliau masih perlu melakukan persiapan untuk tilawah al-Quran itu.

“Apabila kita naik ke atas astaka, suasananya tetap mencabar dan tumpuan perlu diberikan 100 peratus.

“Dalam tempoh 10 minit mengalunkan bacaan, kita mesti berusaha sedaya upaya mengelakkan sebarang kesalahan dari segi bacaan, tajwid dan taranum,” ujarnya.

Jelasnya, ini adalah kali keempat beliau menyertai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan selepas mengambil bahagian pada 2012, 2011 dan 2009.

“Jika rezeki menang, saya berhasrat menyertai tilawah peringkat antarabangsa pula,” katanya. - UTUSAN ONLINE