Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sembilan, Mohamad Hassim Mat Jahaya berkata, ikan-ikan tersebut boleh dibeli di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), D’Mart di kawasan Felda, pasar nelayan serta pasar tani sekitar daerah ini dan Seremban.

Beliau memberitahu, terdapat lapan jenis ikan segar beku di bawah program Q’Fish iaitu ikan tilapia, keli, kembung, selar, pelaling, aya, cencaru dan selayang.

“Program ini diadakan bagi menawarkan ikan segar beku yang berkualiti sebagai pilihan dengan harga berpatutan kepada pengguna.

“Ini juga dapat meningkatkan permintaan terhadap ikan segar beku dan mewujudkan peluang pemasaran bagi hasil tangkapan ikan ke pasaran yang berpotensi,” katanya semasa majlis pelancaran Q’Fish di pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang di sini.

Majlis pelancaran disempur­nakan oleh Pengerusi Jawatan­kuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza.

Pada majlis sama turut diadakan penyampaian elaun sara hidup kepada 110 nelayan serta jamuan Aidilfitri.

Menurut Mohamad Hassim, berdasarkan jualan awal di Pasar Tani Batu 4 di sini pada akhir bulan Ramadan lalu, menunjukkan pengguna memberi maklum balas positif terhadap penjualan ikan segar beku berkenaan.

Ujar beliau, pihaknya akan sentiasa memantau bekalan ikan mencukupi supaya lebih ramai penduduk di negeri ini mendapat manfaat daripada program tersebut.