Pantainya yang indah menghadap Selat Melaka menjadi tarikan utama bagi pengunjung selain pelbagai aktiviti sukan laut yang boleh dilakukan pelancong.

Bagaimanapun, di sebalik kemegahan namanya, Port Dickson dicemari dengan banyak projek pembinaan hotel dan rumah kedai yang terbiar dan terbengkalai.

Usang, gelap, buruk dan ditum­buhi semak-samun adalah gambaran terhadap bangunan terbiar sekian lama sehingga ada yang mencecah puluhan tahun.

Bangunan terbengkalai ini bukan sahaja mencemarkan pan­da­ngan mata dan meragut keinda­han persekitaran tumpuan pelancongan itu, malah mengundang pelbagai masalah sosial.

Seorang penduduk tempatan, Jamal Husaini, 27, melahirkan rasa bimbang terhadap isu tersebut kerana jumlah bangunan terbiar agak banyak.

Katanya, selain menjejaskan imej, bangunan terbiar itu juga dijadikan lokasi remaja membuat maksiat memandangkan suasa­nanya yang gelap dan jauh dari tumpuan awam.

“Setiap hari ada saja kumpulan remaja bermotosikal berkunjung ke beberapa bangunan tinggal dan dipercayai menghidu gam dan menghisap ganja.

“Kalau masalah ini tidak diberi perhatian saya bimbang kegiatan negatif ini semakin serius,” katanya di sini.

Seorang pelancong dari Perak, Nazri Samad, 45, berkata, dia agak kurang selesa dengan jumlah ba­ngunan antaranya hotel yang gagal disiapkan dan terbiar di sekitar Port Dickson.

Ujarnya, berdasarkan per­ki­raannya terdapat berbelas-belas bangunan terbiar di sepanjang pantai Port Dickson.

Beliau mendakwa, salah sebuah bangunan usang berdekatan hotel penginapannya turut menjadi tempat bagi upacara pemujaan kerana terlalu lama ditinggalkan.

“Saya nampak beberapa orang datang ke bangunan lama bersebelahan hotel penginapan saya dalam keadaan mencurigakan baru-baru ini.

“Atas rasa ingin tahu, saya sendiri telah pergi ke bangunan ini untuk mengetahui apa aktiviti sebenar mereka. Saya agak terkejut kerana mereka melakukan upacara pemujaan selepas saya menemukan peralatan bagi tujuan itu di dalam bangunan ber­kenaan,” katanya.

Beliau berkata, faktor ke­selamatan juga menjadi isu utama yang perlu dipandang serius kerana struktur bangunan yang telah dimamah usia mengundang bahaya kepada pengunjung mahupun penduduk.

Sementara itu, bagi seorang penduduk, Azman Ismail, 42, kerajaan negeri mesti mengambil perhatian isu berkenaan walaupun sebahagian besar bangunan terbiar itu milik syarikat swasta.

“Sekali pun masalah ini bukan dalam bidang kuasa kerajaan negeri, sesuatu perlu dilakukan supaya ia tidak menjejaskan imej Port Dickson dalam kalangan pelancong,” katanya.