Selain berisiko roboh dan mencacatkan pemandangan, bangunan terbiar tanpa penyelenggaraan itu terus menimbulkan persoalan kepada pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut.

Siapakah bertanggungjawab terhadap masalah kelewatan penyiapan projek sakit tersebut?. Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan atau pemaju?.

Bagi orang ramai yang menggunakan Jalan Tuanku Antah untuk menuju ke pusat bandar, sudah pasti akan melewati sebuah bangunan separuh siap dalam keadaan usang.

Keadaan sama juga dapat dilihat di Jalan Toman 6, Kemayan Square yang menempatkan dua buah bangunan didakwa pada asalnya untuk dijadikan hotel dan tempat letak kereta.

Utusan Malaysia difahamkan bangunan tersebut terbengkalai sejak lebih 10 tahun.

Terletak di tepi laluan utama dari Lebuhraya Bukit Nenas menuju ke Hospital Pakar KPJ dan pusat beli-belah Palm Mall, bangunan tersebut bukan sahaja be­risiko kepada keselamatan tetapi juga kesihatan orang ramai.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit mendapati, persekitaran bangunan dipenuhi sampah sarap tetapi juga sisa binaan yang bersepah di sana sini.

Lebih memburukkan kea-daan, terdapat takungan air di bangunan tersebut yang dipenuhi jentik-jentik.

Sehubungan itu pihak berwajib digesa segera mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah tersebut agar tidak terus menjejaskan imej kerajaan negeri.