Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, penjelajahan ke angkasa lepas adalah penting untuk sains pada masa hadapan.

“Hari ini Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merasa sangat gembira kerana salah satu daripada pendekatan kita untuk memajukan sains di Malaysia adalah meperkenalkan angkasawan pertama negara di bawah program UKM Di Angkasa.

“Ini adalah salah satu pencapaian projek angkasawan Malaysia yang kita lancarkan kerana pada mulanya kita hantar Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke angkasa adalah untuk membangkitkan motivasi kepada anak-anak muda,” katanya ketika ditemui pada karnival berkenaan di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza.

Menurut Abu Bakar, pendekatan menjelajah ke angkasa lepas adalah penting untuk membantu perkembangan sains pada masa hadapan.

“Kita bersyukur kerana Angkasawan Negara sudah menggunakan platform tersendiri di UKM untuk menjelajah seluruh Malaysia dan memulakan langkah bersejarah di tempat kelahirannya sendiri.

“Ia merupakan pendekatan yang baik dan kita berharap rakyat Malaysia akan mula memahami sains,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, MOSTI akan mengemukakan cadangan bagi misi menghantar angkasawan kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk melakukan penyelidikan saintifik kepada kerajaan pada penghujung tahun hadapan.

“Kita perlu menentukan justifikasi jenis program berdasarkan kejayaan program angkasawan yang pertama dan perlu mengumpul maklumat baharu supaya cadangan boleh dihantar memandangkan misi kedua ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia dan tidak offset dengan kerajaan Rusia seperti sebelum ini,” katanya.