Guru al-Quran berusia 27 tahun itu mengakui bukan mudah untuk turun sebagai wakil tuan rumah namun menguatkan tekad memberikan bacaan terbaik kepada kira-kira 2,000 orang yang hadir di dewan itu dan mereka yang mengikuti acara itu melalui televisyen dan portal dalam talian.

Katanya, banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh para peserta semasa naik ke astaka untuk memperdengarkan bacaan masing-masing.

“Apatah lagi sebagai peserta tuan rumah, sudah tentu tekanan agak kuat dan memerlukan tumpuan penuh untuk memberikan yang terbaik.

“Sebab itu, kita perlu berlatih secara berterusan supaya dapat menghadapi semua cabaran ini dengan baik,” katanya kepada Utusan Online selepas memperdengarkan bacaan pada malam keempat tilawah tersebut.

Mohamad Husaini gembira kerana tahun ini ramai peserta terdiri daripada kalangan anak muda dan ia adalah petanda baik bahawa generasi itu semakin berminat untuk mendalami ilmu al-Quran.

“Situasi ini amat baik dalam usaha mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda.

“Sama ada menang atau sebaliknya, tidak penting kerana semua peserta berharap ilmu al-Quran dapat disebar luas dan berkembang dengan baik di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya, ini adalah kali ketiga beliau menyertai tilawah al-Quran peringkat kebangsaan selepas mengambil bahagian pada 2015 dan 2016.

Tambahnya, beliau meraih tempat ketiga dalam tilawah al-Quran pada 2016. - UTUSAN ONLINE